Wednesday, June 3, 2009

Aku muslim terhebat di dunia


Menjadi seorang muslim merupakan suatu nikmat yang terbesar dikurniakan Allah s.w.t. Ramai yang merasakan menjadi muslim itu adalah kerana seseorang itu dilahirkan didalam kalangan keluarga muslim, sebagaimana seorang Inggeris menjadi Inggeris kerana dilahirkan oleh ibubapanya yang berbangsa Inggeris. Bagi mereka, menjadi muslim seolah-olah diwarisi, biarpun mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam. Mereka tetap merasakan mereka itu masih lagi seorang muslim, walhal amalan dan hidup mereka bukan sahaja diluar cara hidup Islam, kadangkala seolah-olah mencabar pula nilai dan ajaran Islam. Menjadi muslim sekadar melibatkan perkara-perkara yang terpilih sahaja, seperti sambutan Hari Raya, perkahwinan dan kematian, sedangkan pada masa-masa lain, mereka tidak pernah mengenal kain sejadah.

Salah satu trend yang membimbangkan sekarang ini ialah kegilaan untuk menempah nama sebagai orang yang “ter” di dunia. Sekiranya gelaran itu bersesuaian dengan peradaban dan kemajuan teknologi, sewajarnya kita menerima dengan rasa rendah diri. Namun apabila mendapat gelaran muslim pertama bagi perkara-perkara yang tidak disuruh agama dan mendatangkan manfaat kepada umat Islam, maka sewajarnya gelaran muslim diasingkan daripada individu tersebut. Ambillah gelaran tersebut untuk dirinya, “Jenab terhebat didunia tidur dengan lipan selama 14 hari” tetapi jangan kaitkan Islam bersama. Bukanlah bermaksud kita hendak mengecilkan usaha sesiapa, namun Rasul s.a.w bukanlah diutuskan Allah untuk menyuruh penganutnya mendapat gelaran-gelaran yang pelik seperti muslim terbanyak memakan hotdog di dunia, muslim pertama merangkak ke Gunung Everest dan sebagainya. Malah, sangatlah aneh, kerana kita sendiri tidak pernah mendengar penganut agama-agama lain didunia ini yang menggilakan gelaran seperti orang Buddha pertama menyeberang Selat Inggeris.

Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya.

Entah mengapa kadangkala segelintir umat Islam yang sememangnya dimuliakan martabatnya disisi Allah, lebih menyukai untuk bergelumang bersama-sama dengan kejahilan dan kebebalan fahaman hedonistik yang ditaja oleh Yahudi.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.”Ada Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat?”
Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”
Sahabat bertanya pula, “Apakah itu Al Wahan?”
Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati.”


Inilah buktinya mukjizat kerasulan Muhamad, walaupun pada lebih satu dekad yang lalu, namun Baginda dapat menerangkan fenomena kegilaan segelintir umat Islam untuk mendapat pelbagai gelaran-gelaran yang terhebat di dunia sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Apabila taqwa tidak lagi ingin dicapai, sudah pasti dunia menarik pandangan umpama seorang penjenayah yang menyamar sebagai seorang yang amat sopan. Apabila kita terleka dengan pujuk rayunya, maka tunggulah saat kecelakaan membaham diri.

No comments:

Post a Comment