Wednesday, June 3, 2009

Atom dan Al-Quran






Apakah yang membentuk objek di sekeliling kita? Apakah bahan yang membentuk langit? Daripada apakah alam semesta ini diperbuat? Tidakkah persoalan sedemikian pernah timbul di benak kita, dan sudah semestinya, persoalan tersebut membawa implikasi yang amat besar terhadap aqidah kita sekiranya tidak ditangani dengan fikiran yang dipandu dengan wahyu.

Persoalan tersebut, meskipun kadangkala muncul di fikiran seorang muslim, namun sebenarnya majoriti umat Islam memandang persoalan itu termasuk didalam pengetahuan sains, yang bagi mereka hanya perlu diketahui oleh ahli sains sahaja. Majoriti umat Islam menganggap mengetahui perkara asas yang membentuk objek-objek di sekeliling kita merupakan perkara kecil, sedangkan memahami dan mengkaji setiap benda di dalam alam semesta bermula daripada sekecil zarah sehinggalah kepada galaksi yang tidak terhitung luasnya merupakan suatu kefardhuan dalam mengenal Allah. Malah, Allah sendiri menegaskan pengetahuannya meliputi zarah terkecil yang membentuk alam semesta.

Katakanlah (wahai Muhammad), "Bahkan (tetap datang)! Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu." tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat zarah yang ada di langit dan di bumi dan tidak ada yang terlebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis didalam kitab yang terang dan nyata.
(Surah Saba' : 3)


Ayat ini menggambarkan kekuatan dan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh Al-Quran yang mendahului zamannya. Perkataan "seberat zarah" sebenarnya membawa maksud yang amat saintifik, dimana penggunaan maksud berat seringkali merujuk kepada jisim didalam bidang sains fizik dengan unit asasnya ialah kilogram(kg). Jadi, apakah yang membezakan diantara zarah dengan bukan zarah? Zarah merujuk kepada objek yang mempunyai jisim, berat dan bentuk, walau apapun saiznya, dan sudah semestinya zarah mestilah dapat diukur atau ditimbang dengan apa jua peralatan ataupun pengiraan matematik sekiranya melibatkan objek yang terlampau kecil seperti elektron ataupun objek yang terlampau besar seperti matahari. Sekiranya sesuatu objek itu tidak mempunyai bentuk, dan tidak pula dapat ditimbang, maka itu bukanlah zarah. Contoh mudah bukan zarah ialah gelombang bunyi dan gelombang cahaya yang tidak dapat ditimbang berat dan tidak diketahui bentuknya.

Sains moden pada hari ini mentakrifkan suatu medium penyukatan yang berasaskan berat, atau lebih tepat lagi, jisim bagi menentukan dan mengklasifikasikan setiap molekul dan atom yang membentuk setiap objek dan benda termasuklah alam semesta yang kita diami ini. Sebagai contoh, lautan terbentuk daripada percantuman jutaan takungan air. Takungan air pula terbentuk daripada jutaan tompokan air. Setompok air pula terbentuk daripada jutaan titisan air. Setitik air pula terdiri daripada jutaan molekul-molekul air. Sebuah molekul air pula terdiri daripada gabungan dua atom iaitu hydrogen dan oksigen. Jadi, apakah itu atom? Apakah ada lagi unsur terkecil yang lebih kecil daripada atom?

Persoalan mengenai atom ataupun zarah ini sebenarnya bukanlah suatu persoalan baru. Ahli falsafah Greek sendiri tidak terlepas daripada memikirkan apakah itu atom. Democritus yang memperkenalkan perkataan atomos yang bermaksud ‘tidak dapat dipecahkan atau dibahagikan lagi” manakala Plato dan Aristotle pula yang mentakrifkan atom sebagai partikel yang tidak dapat dipecahkan lagi iaitu air, udara, tanah dan angin. Ketamadunan Islam membawa bidang kimia keluar daripada kegelapan dan kejahilan, dimana sebelum itu masyarakat Eropah dan dunia hanya mempercayai 4 unsur tersebut dengan penuh ketahyulan dan kedongengan. Malah bangsa Melayu sendiri tidak terlepas daripada fahaman tahyul tersebut yang berasal daripada agama musyrik Greek.

Sarjana Islam,Jabir al-Hayan atau lebih dikenali sebagai Geber di barat merupakan Bapa kepada bidang Kimia dimana beliaulah yang membawa perubahan besar kepada ilmu pengkajian zarah, iaitu berjaya merubah ilmu kimia daripada sebuah ilmu berbentuk tahyul dan dongeng kepada ilmu berasaskan sains, dimasa barat masih lagi percaya kepada kuasa-kuasa ghaib yang dimilik oleh 4 unsur tersebut. Beliau menjadikan pengkajian terhadap zarah lebih sistematik dan berbentuk ujikaji, berbanding ilmu Greek pada masa itu yang lebih berbentuk falsafah dan tahyul.

Meskipun tidak menemui sub-partikel yang lain, namun, saintis Islam berjaya membuktikan bahawa atom merupakan zarah terkecil yang mempunyai sifat yang berbeza di antara satu sama lain, melalui penemuan proses menghasilkan asid hidroklorik, asid nitrik dan beberapa sebatian kimia penting yang lain.
Sumbangan tamadun Islam ini kemudiannya dimanfaatkan oleh tamadun barat.
Saintis terkemudian barat kemudiannya mula mengambil pengajaran dan iktibar, dengan melakukan pengkajian demi pengkajian daripada satu generasi kepada satu generasi, sehinggalah sub-partikel yang membentuk sebuah atom ditemui, iaitu electron, proton dan neutron sebagaimana yang kita fahami hari ini.

Pengetahuan yang dimiliki oleh barat ini bukan sahaja berbentuk ilmu untuk kelas-kelas dan universiti, malah diaplikasikan sepenuhnya untuk kemajuan mereka. Bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima sebenarnya merupakan pengolahan daripada ilmu pengetahuan mengenai zarah.

Secara asasnya, satu atom terdiri daripada gabungan proton, elektron dan neutron. Gabungan daripada atom-atom inilah yang membentuk alam semesta sebagaimana yang kita diami ini. Namun, apakah yang membezakan diantara satu atom dengan satu atom yang lain, sehinggakan mampu membentuk pelbagai rasa dan bentuk. Sesuatu atom dibezakan diantara satu sama lain melalui bilangan proton, neutron dan elektron yang terkandung didalamnya.
Kecantikan dan ketinggian ilmu yang terkandung didalam Al-Quran amat jelas melalui firman Allah:

Dan (ingatlah) tidaklah Kami jadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main.
(Surah Al-Anbiya: 16)

Dan (ingatlah) tidaklah Kami jadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah.
(Surah Al-Hijr: 85)

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdirnya (yang telah ditentukan)
(Surah al-Qamar:49)

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), Dan Tuhan yang Menciptakan (sekalian makhlukNya) serta Menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaaannya, Dan yang telah Mengatur (keadaan makhluknya) serta memberikan hidaah petunjuk (ke jalan keselamatan dan kesempurnaannya).
(Surah al-A’la:1-3)

Ayat tersebut sememangnya amat besar dan menggentarkan hati para saintis yang beriman, bukan kerana gaya bahasanya sebagaimana yang difahami oleh ahli bahasa, tetapi kerana firman Allah tersebut jelas terbukti menerusi penemuan yang membentuk ilmu sains moden hari ini. Saintis barat sendiri meyakini bahawa alam semesta bukanlah wujud secara tidak teratur, tetapi mempunyai aturan dan susunan yang harmonik sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat diatas.

Sebagai contoh, jika kita cuba memasukkan butiran beras didalam seratus cawan berasingan tanpa mengira bilangan butir beras bagi setiap tuangan, mampukah kita membuat aturan yang cantik iaitu cawan pertama mempunyai 10 butir beras, cawan kedua 20 butir beras dan cawan ketiga 40 butir beras dan seterusnya sehinggalah ke cawan yang ke seratus? Walau sehebat manapun bakat kita, sudah pasti, jika kita tidak mengira secara amat teliti, tidak mungkin bilangan butir beras dalam cawan pertama hinggalah ke cawan yang seratus akan terkumpul secara tersusun dan teratur. Begitu jugalah bagaimana Allah menciptakan atom-atom yang pelbagai didalam alam semesta ini, semuanya mempunyai ukuran yang tersendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat diatas. Buktinya, sains moden menemui bahawa perbezaan diantara satu atom dengan atom yang lain adalah melalui bilangan proton dan susunan konfigurasi elektronnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Jadual Berkala unsur-unsur kimia.



Bagi atom yang mempunyai satu proton dan satu konfigurasi elektron, maka atom tersebut akan membentuk suatu ciri khusus yang tidak dimiliki oleh atom lain yang mempunyai bilangan proton yang berbeza. Bermula dengan atom yang mempunyai struktur yang paling ringkas iaitu Hidrogen dengan satu proton, Allah menciptakan atom lain dengan teratur melalui pertambahan bilangan proton mengikut turutan bagi membentuk atom Helium yang mempunyai dua proton, Lithium dengan 3 proton, Berilium dengan 4 proton dan seterusnya mengikut pertambahan satu proton sebagaimana yang ditunjuki oleh jadual berkala moden.

Lihatlah betapa cantiknya ayat-ayat diatas. Perkataan “berhikmah dan teratur“ menunjukkan bahawa perbezaan diantara setiap atom adalah secara berkala dan tertib, dan sudah pasti kenaikan nombor-nombor proton ini tidak mungkin berlaku secara rawak, seperti selepas nombor proton 10, tidak mungkin atom selepas itu mempunyai nombor proton 13, 19, 56 dengan kenaikan pertambahan yang rawak.
Inilah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w yang kini berada ditangan kita. Hanya menunggu kita untuk memahami dan mengkajinya!

No comments:

Post a Comment