Wednesday, June 3, 2009

Mengenal tenaga nuklear

Apabila membicarakan tenaga nuklear, masyarakat pada hari ini dengan mudah melatah dan melenting. Mereka akan terus membangkang dan membantah apa-apa saja aktiviti berkaitan nuklear di atas nama keamanan. Namun, benarkah nuklear itu membawa kepada kemusnahan? Atau sekadar propaganda yang dimainkan oleh Barat? Marilah terlebih dahulu, dengan menggunakan akal yang waras, kita meneliti dan memahami dahulu apakah itu nuklear sebelum kita melakukan apa-apa tindakan yang boleh merugikan kita. Benarlah kata bahawa manusia amat menakuti perkara yang tidak difahaminya.




Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya, padahal Allah tidak dilihatnya”.
(Surah Al Hadid:25)


Rahsia mengenai tenaga nuklear sebenarnya telah lama dijelaskan oleh Al-Quran. Kalimah besi sebagaimana ayat diatas, bukan tertumpu kepada unsur besi (iron) sahaja, tetapi meliputi kesemua galian-galian yang boleh dilombong daripada perut bumi. Uranium, iaitu bahan utama yang digunakan dalam aktiviti nuklear, merupakan salah suatu logam berat daripada kumpulan logam aktinida. Uranium biasanya ditemui jauh di bawah tanah, dimana proses pembentukannya secara tabi’e oleh Allah adalah melalui letupan supernova sahaja ketika bumi masih lagi belum terbentuk sebagaimana yang kita diami hari ini. Menurut sesetengah pendapat ahli sains kajibumi, haba panas yang terdapat pada teras bumi diperolehi daripada proses pereputan uranium kepada unsur lain yang membebaskan haba dan haba itulah yang mengekalkan teras bumi pada suhu yang tinggi.

Uranium bukanlah satu-satunya sumber radioaktif. Kesemua logam aktinida adalah radioaktif, manakala terdapat juga unsur-unsur yang pada asalnya bukanlah bersifat radioaktif, tetapi digubah struktur atomnya supaya tidak stabil dan menjadi radioaktif seperti karbon-14, iodin-123, technetium-99, phosporus-32 bagi pelbagai kegunaan.



Proses nuklear terbahagi kepada dua iaitu pemecahan nukleus atom berat (fision) dan pencantuman 2 nukleus ringan kepada nukleus yang lebih berat (fusion). Kedua-dua proses ini melibatkan pembebasan sejumlah besar tenaga yang mematuhi kesetaraan prinsip jisim-tenaga iaitu ΔE = Δm.c². Dalam proses ini, sejumlah jisim dimusnahkan bagi menghasilkan sejumlah besar tenaga.

Proses pereputan radioaktif pula menyebabkan tenaga terhasil apabila atom atau unsur berat yang tidak stabil seperti uranium mereput untuk membentuk unsur baru. Ketika unsur radioaktif mereput, unsur tersebut akan memancarkan 3 jenis sinaran iaitu partikel alfa, partikel beta dan sinar gamma. Matahari adalah contoh proses nuklear yang wujud secara fitrah dan semulajadi, dimana ia merupakan sumber tenaga utama kepada planet kita, malah merupakan unsur terpenting yang membolehkan makhluk-makhluk Allah yang bernyawa seperti kita wujud di muka bumi ini. Proses pencantuman hidrogen di teras matahari untuk membentuk helium membebaskan jumlah tenaga yang amat banyak, sehingga ia mampu memastikan matahari terus bersinar sebagaimana di terangkan dalam Al-Quran,

Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
(Surah Nuh: 16)


Istilah lampu didalam ayat di atas boleh membawa maksud proses pembakaran sesuatu bahan (iaitu bahan bakar) yang mengeluarkan haba dan memancarkan cahaya. Bulan disebut sebagai bercahaya sahaja kerana permukaan bulan dilihat bercahaya cuma kerana pantulan cahaya daripada matahari, dan bulan sendiri tidak mempunyai sumber pembakarannya sendiri seperti matahari. Ketinggian ilmu yang terdapat didalam Al-Quran jelas membezakan proses yang berlaku di matahari dan di bulan. Kenapakah matahari dan bulan begitu penting bagi bumi? Jawapannya mungkin terletak pada jumlah tenaga yang dibekalkan oleh matahari. Cahaya matahari itu sendiri membekalkan hampir 1000 watt kuasa per 1 meter persegi pada permukaan bumi. Sekiranya bumi berkedudukan terlalu hampir dengan matahari, bumi pasti menerima lebih tenaga, menjadikan hidupan tidak mampu hidup diatasnya, manakala jika bumi menerima kurang daripada nilai tersebut, bumi akan menjadi terlalu sejuk untuk didiami sebagaimana firman Allah:

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
(Surah Yasin :40)

Persepsi terhadap tenaga nuklear harus diubah. Kita harus melihat tenaga nuklear sebagai suatu anugerah Allah yang perlu diolah demi kebaikan manusia sejagat. Di saat dunia dijangka mengalami krisis bekalan minyak menjelang abad-abad mendatang, nuklear merupakan antara calon pengganti terbaik, memandangkan nisbah bahan dan tenaga adalah kecil jika dibandingkan dengan minyak.

No comments:

Post a Comment