Friday, June 19, 2009

Siapa saintis muslim yang pertama di muka bumi?

Ilmu sains seringkali disalahtafsirkan oleh para ilmuan Islam sebagai suatu cabang ilmu yang termasuk di dalam fardhu kifayah. Anggapan tersebut sebenarnya didorong oleh kelemahan dan kekurangan ilmu pengetahuan ulama tersebut dalam memahami prinsip dan falsafah ilmu sains. Sewajarnya, sebagai umat Islam, pendirian kita haruslah berbeza daripada tamadun barat yang memisahkan ilmu sains dan aspek keagamaan. Dunia Barat malah turut menganggap, bahawa agama merupakan suatu manifestasi falsafah kehidupan yang direka-reka masyarakat terdahulu dalam membentuk sebuah masyarakat yang ideal. Hakikatnya, Barat menganggap bahawa agama itu tidak lebih daripada candu yang membelenggu masyarakat, dan pemisahan diantara kedua cabang ilmu itu haruslah dilakukan setiap masa kerana agama dianggap sebagai faktor yang menghalang perkembangan sains, sekaligus menghalang perkembangan potensi pemikiran manusia sebagaimana yang cuba diperjuangkan oleh penggerak kebangkitan Renainsance di Eropah.

Berbeza dengan dunia Barat, Islam sebenarnya mengiktiraf ilmu sains sebagai salah suatu cabang ilmu yang utama. Mungkin disebabkan penguasaannya oleh dunia Barat, kebanyakkan ulama menganggap bahawa sains itu adalah salah satu lagi ilmu sekular yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan ajaran Islam. Kekeliruan tersebut mungkin tidak berlaku sekiranya ulama-ulama tersebut memahami asal-usul dan susur galur perkembangan ilmu sains moden yang dibangunkan oleh tamadun Islam sebagaimana yang kita nikmati pada hari ini. Nabi Muhammad bukanlah diutuskan untuk membawa perubahan teknologi dan peralatan serba baru kepada umat manusia, tetapi baginda berjaya membangunkan sebuah masyarakat bertakwa yang hidup hatinya dalam mengenal pemilik dan penciptaNya sebagaimana dijelaskan dalam dalil berikut.

Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.

(QS Yunus :101)

Gesaan Allah dalam ayat diatas seolah-olah menunjukkan akan kaedah utama dalam memahami ilmu aqidah Islam, iaitu melalui pemerhatian dan analisis, dua proses utama yang mendasari prinsip ilmu sains. Ilmu sains moden pada hari ini sebenarnya adalah merupakan hasil daripada aktiviti pencerapan samada didalam makmal mahupun di lapang kajian. Hasil daripada proses pencerapan itu pula akan dianalisis bagi membentuk teori-teori dan hukum-hukum sains. Dua kaedah utama yang membentuk suatu displin ilmu ini sebenarnya diperkenalkan oleh para sarjana muslim silam, melalui kaedah-kaedah yang amat sistematik. Tamadun Islam berjaya membentuk ilmu sains yang lebih jelas serta praktikal dan tidak dipengaruhi unsur-unsur tahyul, khurafat dan falsafah pemikiran semata-mata. Namun, dengan kemerosotan ketamadunan Islam, para ulama kemudiannya lebih cenderung untuk menggunakan falsafah pemikiran sebagai dasar utama untuk umatnya mendalami ilmu aqidah Islam, manakala teknik dan ilmu sains iaitu kaedah pemerhatian dan analisis pula dipinggirkan.

Menurut Sayyid Sabiq dalam kitab Al-Aqaid Al-Islamiyah (Aqidah Islam), penyempurnaan aqidah dapat diperolehi melalui pemerhatian dan pemikiran akal (analisis). Dalil dalam ayat diatas menunjukkan bahawa ilmu sains hakikatnya adalah salah satu juzuk ilmu aqidah yang tidak terpisah, dan matlamat utama sains adalah memperkenalkan makhluk dengan penciptaNya. Malah, Al-Quran telah menceritakan bahawa para Rasul turut dilatih untuk menggunakan kaedah saintifik dalam mengukuhkan keimanan sebagaimana yang dialami oleh Nabi Ibrahim a.s.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

(QS. al-An'aam: 75-78)

Disaat masyarakat menjadikan pandangan manusia sebagai panduan hidup, Nabi Ibrahim a.s ditunjuki Allah akan kaedah-kaedah asas sains yang jelas bertentangan dengan apa yang dipraktikkan oleh masyarakat ketika itu. Kesan daripada taklid buta dan kepatuhan kepada ajaran nenek moyang, masyarakat menganggap penyembahan berhala adalah benar, meskipun mereka sendiri dapat berfikir dengan akal yang waras bahawa berhala-berhala itu adalah sembahan yang tidak dapat memberi mudharat kepada mereka. Pengetahuan saintifik yang dikurniakan Allah kepadanya digunakan sepenuhnya oleh Nabi Ibrahim bagi membetulkan masyarakat yang membenarkan ajaran karut pendeta-pendeta yang menyembah patung berhala. Bermula dengan ayahnya, Nabi Ibrahim mula berdebat berasaskan fakta-fakta saintifik, sedangkan ayahnya jelas tidak mempunyai sebarang dalil yang mampu menyokong tindakan kaumnya. Dengan memahami hukum-hukum sains yang jelas seperti batu adalah objek yang tidak dapat memberikan kemudharatan, berjaya meningkatkan usaha Nabi Ibrahim untuk meneruskan dakwahnya ditengah-tengah masyarakat.

"Dan itulah hujah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. "
(QS. al-An'am: 83)

* Artikel akan bersambung

1 comment:

  1. hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

    ReplyDelete