Friday, June 19, 2009

Siapa saintis muslim yang pertama di muka bumi?

Ilmu sains seringkali disalahtafsirkan oleh para ilmuan Islam sebagai suatu cabang ilmu yang termasuk di dalam fardhu kifayah. Anggapan tersebut sebenarnya didorong oleh kelemahan dan kekurangan ilmu pengetahuan ulama tersebut dalam memahami prinsip dan falsafah ilmu sains. Sewajarnya, sebagai umat Islam, pendirian kita haruslah berbeza daripada tamadun barat yang memisahkan ilmu sains dan aspek keagamaan. Dunia Barat malah turut menganggap, bahawa agama merupakan suatu manifestasi falsafah kehidupan yang direka-reka masyarakat terdahulu dalam membentuk sebuah masyarakat yang ideal. Hakikatnya, Barat menganggap bahawa agama itu tidak lebih daripada candu yang membelenggu masyarakat, dan pemisahan diantara kedua cabang ilmu itu haruslah dilakukan setiap masa kerana agama dianggap sebagai faktor yang menghalang perkembangan sains, sekaligus menghalang perkembangan potensi pemikiran manusia sebagaimana yang cuba diperjuangkan oleh penggerak kebangkitan Renainsance di Eropah.

Berbeza dengan dunia Barat, Islam sebenarnya mengiktiraf ilmu sains sebagai salah suatu cabang ilmu yang utama. Mungkin disebabkan penguasaannya oleh dunia Barat, kebanyakkan ulama menganggap bahawa sains itu adalah salah satu lagi ilmu sekular yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan ajaran Islam. Kekeliruan tersebut mungkin tidak berlaku sekiranya ulama-ulama tersebut memahami asal-usul dan susur galur perkembangan ilmu sains moden yang dibangunkan oleh tamadun Islam sebagaimana yang kita nikmati pada hari ini. Nabi Muhammad bukanlah diutuskan untuk membawa perubahan teknologi dan peralatan serba baru kepada umat manusia, tetapi baginda berjaya membangunkan sebuah masyarakat bertakwa yang hidup hatinya dalam mengenal pemilik dan penciptaNya sebagaimana dijelaskan dalam dalil berikut.

Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.

(QS Yunus :101)

Gesaan Allah dalam ayat diatas seolah-olah menunjukkan akan kaedah utama dalam memahami ilmu aqidah Islam, iaitu melalui pemerhatian dan analisis, dua proses utama yang mendasari prinsip ilmu sains. Ilmu sains moden pada hari ini sebenarnya adalah merupakan hasil daripada aktiviti pencerapan samada didalam makmal mahupun di lapang kajian. Hasil daripada proses pencerapan itu pula akan dianalisis bagi membentuk teori-teori dan hukum-hukum sains. Dua kaedah utama yang membentuk suatu displin ilmu ini sebenarnya diperkenalkan oleh para sarjana muslim silam, melalui kaedah-kaedah yang amat sistematik. Tamadun Islam berjaya membentuk ilmu sains yang lebih jelas serta praktikal dan tidak dipengaruhi unsur-unsur tahyul, khurafat dan falsafah pemikiran semata-mata. Namun, dengan kemerosotan ketamadunan Islam, para ulama kemudiannya lebih cenderung untuk menggunakan falsafah pemikiran sebagai dasar utama untuk umatnya mendalami ilmu aqidah Islam, manakala teknik dan ilmu sains iaitu kaedah pemerhatian dan analisis pula dipinggirkan.

Menurut Sayyid Sabiq dalam kitab Al-Aqaid Al-Islamiyah (Aqidah Islam), penyempurnaan aqidah dapat diperolehi melalui pemerhatian dan pemikiran akal (analisis). Dalil dalam ayat diatas menunjukkan bahawa ilmu sains hakikatnya adalah salah satu juzuk ilmu aqidah yang tidak terpisah, dan matlamat utama sains adalah memperkenalkan makhluk dengan penciptaNya. Malah, Al-Quran telah menceritakan bahawa para Rasul turut dilatih untuk menggunakan kaedah saintifik dalam mengukuhkan keimanan sebagaimana yang dialami oleh Nabi Ibrahim a.s.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

(QS. al-An'aam: 75-78)

Disaat masyarakat menjadikan pandangan manusia sebagai panduan hidup, Nabi Ibrahim a.s ditunjuki Allah akan kaedah-kaedah asas sains yang jelas bertentangan dengan apa yang dipraktikkan oleh masyarakat ketika itu. Kesan daripada taklid buta dan kepatuhan kepada ajaran nenek moyang, masyarakat menganggap penyembahan berhala adalah benar, meskipun mereka sendiri dapat berfikir dengan akal yang waras bahawa berhala-berhala itu adalah sembahan yang tidak dapat memberi mudharat kepada mereka. Pengetahuan saintifik yang dikurniakan Allah kepadanya digunakan sepenuhnya oleh Nabi Ibrahim bagi membetulkan masyarakat yang membenarkan ajaran karut pendeta-pendeta yang menyembah patung berhala. Bermula dengan ayahnya, Nabi Ibrahim mula berdebat berasaskan fakta-fakta saintifik, sedangkan ayahnya jelas tidak mempunyai sebarang dalil yang mampu menyokong tindakan kaumnya. Dengan memahami hukum-hukum sains yang jelas seperti batu adalah objek yang tidak dapat memberikan kemudharatan, berjaya meningkatkan usaha Nabi Ibrahim untuk meneruskan dakwahnya ditengah-tengah masyarakat.

"Dan itulah hujah Kami yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan siapa yang Kami kehendaki beberapa darjat. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. "
(QS. al-An'am: 83)

* Artikel akan bersambung

Tuesday, June 9, 2009

Kesaksian Saintis Barat dan Moden akan Kebenaran Al-Quran

Ketinggian ilmu Al-Quran jelas melangkaui zaman. Di saat segelintir umat Islam mula menolak sebahagian kecil kandungan Al-Quran, anehnya, dunia Barat mula memberi perhatian yang serius terhadap Al-Quran. Amatlah menyedihkan apabila Islam dipandang sebagai agama yang kolot oleh pengikutnya, sedangkan dunia sains barat sendiri mengakui ketinggian ilmu-ilmu Islam. Meskipun ramai dikalangan umat Islam memandang sinis pandangan saintis moden ini, namun, kita harus menjadikannya sebagai suatu medan dakwah yang berkesan kepada masyarakat berfikiran saintifik yang wujud pada hari ini. Islam adalah agama yang universal yang memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat.

1. Keith L Moore

“Sejak hampir 3 tahun, saya sudah bekerja bersama Jawatankuasa Embriologi King cAbdulaziz University di Jeddah, Arab Saudi, menolong Jawatankuasa itu memahami banyak penyataan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah yang berkaitan dengan pembiakan manusia dan pembentukan bayi di dalam kandungan. Pada awal-awal lagi, adalah amat menakjubkan saya akan ketepatan penyataan yang direkodkan pada kurun ke 7 Masihi , iaitu sebelum Sains Embriologi mula dibangunkan. Meskipun saya mengetahui akan kegemilangan Saintis Muslim pada kurun ke 10 Masihi, dan sebahagian daripada mereka menyumbang kepada kemajuan ilmu perubatan, saya tidak tahu langsung akan kenyataan agama dan kepercaaan (berkaitan saitifik) yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Pada satu persidangan di Kaherah, semasa membentangkan satu kertas kerja,

“Adalah menjadi satu penghormatan buat saya untuk membantu memahami penyataan yang terkandung di dalam Al-Quran berkenaan dengan perkembangan (pembiakan) manusia. Adalah jelas bagi saya bahawa kesemua penyataan ini mesti datang kepada Muhamad daripada Tuhan, atau Allah, kerana hamper kesemua ilmu pengetahuan tersebut tidak ditemui sehinggalah beberapa kurun kemudian. Ini membuktikan kepada saya bahawa Muhamad sudah semestinya adalah seorang pesuruh Tuhan atau Allah”.

Profesor Moore juga pernah berkata,

“ Disebabkan proses perkembangan embrio manusia adalah kompleks, merangkumi proses perubahan yang berterusan sepenjang perkembangannya, seolah-olah dapat membentuk suatu sistem baru klasifikasi yang dapat digunakan daripada fasa-fasa yang dinyatakan didalam Al-Quran dan Sunnah. Sistem yang dinyatakan Al-Quran itu lebih mudah, konprehensif dan bersesuaian dengan ilmu embriologi semasa.”

“Kajian penyelidikan intensif Al-Quran dan Sunnah selama 4 tahun kebelakangan ini telah mendedahkan suatu sistem klasifikasi embrio manusia yang menakjubkan memandangkan ia direkodkan pada kurun ke 7 Masihi…, penjelasan Al-Quran itu tidak mungkin berdasarkan tahap pengetahuan saintifik kurun ke 7 Masihi…:

Keith L Moore adalah seorang Profesor Emeritus, Jabatan Anatomi dan Sel Biologi, Universiti Toronto. Merupakan seorang Pakar Embriologi terkenal dan merupakan penulis beberapa buah buku teks perubatan, termasuklah Clinically Oriented Anatomy (3rd Edition) dan The Developing Human (5th Edition, with T.V.N. Persaud).

Dr Moore juga merupakan bekas President Pertubuhan Anatomist Kanada (Canadian Association of Anatomists) dan Persatuan Anatomist Klinikal Amerika (American Association of Clinical Anatomists). Beliau dianugerahkan oleh Pertubuhan Anatomist Kanada dengan anugerah berprestij J.C.B. Grant Award dan pada tahun 1984, beliau menerima anugerah Keahlian Terhormat daripada Persatuan Anatomist Klinikal Amerika Honoured Member Award of the American Association of Clinical Anatomists) bagi kerja-kerja cemerlangnya dalam bidang anatomi klinikal.


2. E. Marshall Johnson

“ …secara ringkasnya, Al-Quran bukan sahaja menjelaskan perkembangan (luaran) fizikal manusia, tetapi turut menjelaskan proses perkembangan (dalaman) manusia, perkembangan pada peringkat embrio, bagaimana ia dicipta dan pembesarannya, dengan menekankan fasa-fasa kejadian yang diiktiraf oleh sains moden hari ini.”

“Sebagai saintis, saya cuma boleh memahami akan perkara yang secara spesifiknya saya boleh lihat. Saya boleh memahami embriologi dan perkembangan biologi. Saya boleh memahami maksud yang diterjemahkan kepada saya daripada Al-Quran. Dengan mengambil contoh yang saya berikan sebelum ini, sekiranya saya bayangkan bahawa saya berada pada era tersebut (semasa Al-Quran diturunkan kepada Muhamad), meskipun saya merupakan seorang pakar perubatan pada masa itu, saya tidak mungkin dapat menerangkan apa yang diterangkan oleh ayat itu (ilmu itu tidak mungkin berasal daripada manusia pada zaman itu).”

“Saya melihat tiada sebarang bukti yang mampu menyokong pendapat bahawa insan ini iaitu Muhamad mereka-reka maklumat ini daripada seseorang atau sesuatu tempat…, jadi saya lihat tiada satupun disini yang berlawanan dengan konsep kesucian ilmu (daripada Tuhan) sekiranya ia mampu ditulis (direka) oleh Muhamad…”

E. Marshall Johnson merupakan seorang Profesor dan Pengerusi Jabatan Anatomi dan Perkembangan Biologi, dan merupakan Pengarah Institut Daniel Baugh, Thomas Jefferson University, Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Beliau merupakan penulis lebih 200 buah penerbitan, bekas President Teratology Society disamping tokoh-tokoh lain yang terkenal. Profesor Johnson mula berminat dengan petunjuk saintifik daripada Al-Quran pada Persidangan Perubatan Saudi ke-7, apabila suatu jawatankuasa khas dibentuk untuk menjalankan penyelidikan mengenai petunjuk –petunjuk saintifik Al-Quran dan Sunnah. Pada mulanya, Profesor Johnson enggan menerima sebarang kewujudan petunjuk sedemikian di dalam Al-Quran dan Sunnah. Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan Seikh Zindani, beliau mula berminat dengan petunjuk-petunjuk saintifik berkenaan dan menumpukan kajiannya didalam perkembangan internal dan external fetus.

3. T.V.N. Persaud

“Bagi saya, Muhamad nampak seperti seorang manusia biasa, dia tidak boleh membaca, dia tidak boleh menulis, malah, dia juga seorang yang buta huruf…”

“Kita sedang bercakap mengenai 1400 tahun yang lalu, dan kamu mempunyai seorang yang buta huruf menyatakan sesuatu yang amat menakjubkan iaitu bertepatan dengan hokum saintifik…”

“Saya secara peribadi, tidak nampak bahawa semua ini adalah kebetulan, kerana terlalu banyak fakta yang amat tepat dan seperti Dr Moore, saya tidak mempunyai masalah untuk menyatakan bahawa semua ini berinspirasikan daripada sesuatu yang suci yang membolehkan dia menyatakan kesemua pernyataan ini.”

T.V.N Persaud adalah seorang Professor Anatomi dan Professor Paediatics dan Kesihatan Kanak-Kanak, University of Manitoba, Winnipeg, Manitoba, Kanada. Beliau juga merupakan seorang penulis buku yang menulis lebih 20 buah penerbitan dan telah menerbitkan lebih 181 buah penerbitan saintifik. Penulis bersama The Developing Human (5th Edition, with Keith L. Moore). Beliau menerima anugerah J.C.B. Grant Award pada 1991. Profesor Peraud juga pernah membentangkan beberapa kertas kerja penyelidikannya.

4 Joe Leigh Simpson

“ ..hadis-hadis ini tidak mungkin diperolehi daripada ilmu pengetahuan saintifik yang wujud pada masa ia dicatatkan. Ia bukan sahaja menyatakan bahawa tiada sebarang konflik diantara genetik dan agama (Islam), malah agamalah (Islam) yang mungkin menjadi garis panduan sains (hari ini) melalui pendedahan-pendedahan oleh kaedah-kaedah asas saintifik…Wujud pernyataan-pernyataan di dalam Al-Quran yang dibuktikan pada kurun-kurun kemudiannya sebagai sah menunjukkan ilmu pengetahuan didalam Al-Quran sebenarnya datang daripada Tuhan.”

John Leigh Simpson merupakan seorang Professor dan Pengerusi Jabatan Obstetrics dan Gynaecology, Baylor College of Medicine, Houston, Texas, Amerika Syarikat. Beliau adalah President American Fertility Society dan pernah menerima pelbagai anugerah, termasuklah Association of Professors of Obstetrics and Gynaecology Public Recognition Award pada 1992. Seperti kebanyakan yang lain, Professor Simpson amat kagum apabila mengetahui bahawa Al-Quran dan Hadis mengandungi ayat-ayat yang berkaitan dengan kepakarannya. Ketika bertemu Syeikh Abdul-Majeed A Zindani, beliau mendesaknya untuk mengesahkan teks yang ditunjukkan kepadanya adalah berasal daripada Al-Quran dan Hadis.

5. Gerald C. Goeringer

“…didalam beberapa ayat (Al-Quran) ini terkandung penerangan komprehensif berkenaan dengan proses pembentukan manusia bermula daripada percampuran gamet (sel suami dan sel isteri) melalui organogenesis (pembentukan sel asas yang baru). Tiada suatu yang jelas dan rekod yang lengkap mengenai proses pembentukan bayi manusia merangkumi klasifikasi, terminology dan penerangan berkaitan yang wujud sebelumnya. Malah, jika tidak kesemua kejadian pun, penerangan ini sebenarnya melangkaui beberapa kurun iaitu keterangan peringkat pembentukan embrionik dan pembentukan bayi dalam ilmu pengetahuan saintifik (ketika mula ditemui).

Gerald C. Goeringer adalah Professor dan Ko-ordinator Perubatan Embriologi di Jabatan Sel Biologi, Fakulti Perubatan, Georgetown University, Washington DC, Amerika Syarikat. Syeikh Abdul Majeed A. Zindani telah bertemu dengan Professor Goeringer dan bertanya samada terdapat dalam sejarah awal bidang embriologi sebarang teks yang menerangkan dengan lengkap peringkat-peringkat embrio, ataupun sebarang teks yang berkaitan dengan bidang embrionik pada masa Nabi Muhammad s.a.w. Syeikh Zindani juga turut bertanyakan pendapatnya mengenai kalimah-kalimah yang terdapat didalam Al-Quran yang menerangkan fasa-fasa yang berlainan proses pembentukan bayi manusia. Selepas perbincangan yang panjang, beliau membentangkan kajiannya pada Persidangan Perubatan Saudi ke 8.

6. Alfred Kroner

“Apabila memikirkan daripada mana Muhammad datang…, saya fikir adalah mustahil untuk beliau dapat mengetahui pelbagai perkara (hukum sains) seperti pembentukan alam semesta, kerana para saintis cuma dapat mengetahuinya dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini dengan penuh kerumitan, itupun dengan penggunaan kaedah teknologi termaju dalam konteks ini (pembentukan alam semesta).

“Seseorang yang tidak mengetahui sesuatu mengenai nuklear fizik pada 1400 tahun yang lalu, saya fikir tidak sesekali mungkin dapat mengatakan sesuatu daripada pemikirannya bahawa bumi dan langit berasal daripada penciptaan yang sama, dan pelbagai lagi persoalan yang kita bincangkan disini.

“Sekiranya kamu gabungkan kesemua ini dan kamu gabungkan kesemua pernyataan yang dinyatakan Al-Quran dalam konteks yang berkaitan dengan bumi dan pembentukan bumi dan sains secara keseluruhannya, kamu boleh nyatakan secara umumnya bahawa pernyataan tersebut dalam pelbagai sudut adalah benar, dan ia dapat disahkan sekarang dengan menggunakan kaedah saintifik, dan secara umumnya, dapat kamu katakan bahawa Al-Quran adalah sebuah buku sains ringkas untuk manusia biasa. Dan pelbagai pernyataan yang terkandung didalamnya semasa ia di sampaikan Muhamad tidak mungkin dapat dibuktikan pada masa itu, tetapi kaedah saintifik moden kini mampu membuktikan apa yang dikatakan Muhamad 1400 tahun yang lalu”.

Alfred Kroner adalah seorang Professor di Jabatan Geosains, University of Mainz, Jerman. Beliau adalah salah seorang daripada saintis geologist terkemuka dunia, mula dikenali apabila mengkritik teori-teori saintis utama yang lain dalam bidang geosains.

7. Yushidi Kusan

“Bagi saya, saya amat mengkagumi penemuan sebenar astronomi yang terkandung dalam Al-Quran, dan bagi ahli astronomi moden seperti kami, cuma mengkaji sebahagian kecil daripada alam semseta. Kami menumpukan keseluruhan usaha kami bagi memahami sebahagian kecil sahaja (daripada alam semesta), kerana dengan menggunakan teleskop, kami cuma mampu melihat sebahagian kecil sahaja daripada langit tanpa memikirkan keseluruhan alam semesta. Jadi dengan membaca Al-Quran, dan menjawab persoalan-persoalan itu, saya fikir saya dapat menemui cara baru untuk menyiasat alam semesta.

Yushidi Kusan adalah Pengarah Balai Cerap Tokyo, Jepun. Syeikh Abdul Majeed A.Zindai membentangkan sebahagian ayat Al-Quran yang menerangkan permulaan alam semesta dan ruang angkasa, dan hubungan diantara langit dan bumi. Beliau menyatakan kekagumannya, dengan menyatakan Al-Quran menerangkan alam semesta seolah-olah keseluruhan alam semesta ini dilihat daripada suatu puncak yang amat tinggi, kesemuanya jelas dan tersusun.

8 Professor Armstrong

Professor Armstrong ditanya beberapa soalan berkenaan ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kepakarannya. Akhirnya beliau ditanya, “ kamu telah melihat dan menemui penemuan sebenar hukum tabi’e astronomi moden menggunakan peralatan moden, roket dan satelit yang dicipta manusia. Kamu juga telah melihat fakta yang sama yang dinyatakan Al-Quran pada 1400 tahun yang lalu. Jadi apakah pendapat kamu?
Itu adalah persoalan yang sukar yang telah saya fikirkan semenjak perbincangan kita. Saya amat kagum bagaimana tulisan yang begitu kuno(lama) ini nampaknya sepadan dengan ilmu astronomi moden dan semasa. Saya bukanlah seorang ahli dalam sejarah peradaban manusia dan saya mempercayai keadaan yang telah didedahkan pada 1400 tahun yang lalu.
Semestinya, saya lebih suka membiarkan ia sebegitu, yang kelihatan mengkagumkan, mungkin ada atau mungkin tiada penjelasan saintifik mengenai hal itu, mungkin ia adalah sesuatu diluar kefahaman kita sebagai manusia apabila memikirkan tulisan yang kita lihat itu (Al-Quran).


Professor Armstrong berkhidmat dengan NASA dan merupakan seorang Professor Astronomi di Universiti of Kansas, Texas, Amerika Syarikat.

9. William Hay

Professor Hay adalah Professor Oceanografi, University of Colorado, Amerika Syarikat. Beliau adalah salah seorang saintis terbaik di Amerika Syarikat. Syeikh Abdul Majeed A Zindani ang bertemu denganna dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai permukaan laut, pembahagian diantara bahagian atas dan bawah lautan, dan mengenai dasar lautan dan geologi marin.

Saya mendapati bahawa ia amatlah menakjubkan yang pengetahuan ini terdapat di dalam skrip lama Kitab Suci Al-Quran, dan saya sendiri tidak tahu dari mana ia mungkin dating. Tetapi saya fikir, adalah amat mengkagumkan bahawa yang penrnyataan itu sememangnya terdapat dalam Al-Quran, dan kerja ini akan diteruskan untuk mengetahui rahsia pernyataan yang terdapat dalam Al-Quran itu.

Apabila ditanya mengenai sumber asal Al-Quran, dia menjawab, “ Jadi, saya fikir ia mungkin datang daripada sesuatu yang suci dan hebat.”

10. Durja Rao

Beliau adalah seorang Professor Geologi Marin di Universiti Raja Abdulaziz, Arab Saudi. Syeikh Zindani membentangkan kepadanya beberapa ayat yang berkaitan dengan kepakarannya dan Durja Rao ditanya, “Bagaimanakah kamu melihat maklumat saintifik yang dinatakan di dalam Al-Quran? Bagaimana mungkin Nabi Muhammad dapat mengetahui fakta-fakta ini 1400 tahun yang lalu?

Adalah sukar untuk membayangkan bahawa pengetahuan sebegini wujud pada masa itu, iaitu pada 1400 tahun yang lalu. Mungkin sebahagian daripadanya adalah idea ringkas, tetapi untuk menerangkannya secara amat terperinci adalah suatu perkara yang sukar. Jadi, ini bukanlah pengetahuan biasa manusia. Manusia biasa tidak mungkin dapat menerangkan fenomena ini secara terperinci. Jadi, saya rasa, maklumat ini semestinya datang daripada sesuatu yang ghaib”.

11. Professor Siaveda

Professor Siaveda adalah seorang Professor Geologi Marin daripada Jepun. Ketika ditanya beberapa soalan yang berkaitan dengan kepakarannya, dan kemudiannya dimaklumkan beberapa ayat Al-Quran dan petikan Hadis yang menatakan fenomena yang dijawab sebelum ini. Salah satu darinya ialah berkenaan dengan gunung. Syeikh Zindani bertanya mengenai rupa bentuk gunung, adakah ianya berdiri pegun diatas bumi ,”Apakah pendapat kamu mengenai ayat yang kamu baca ini yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis yang berkaitan dengan rahsia alam semesta, dimana para saintis cuma baru mengetahuinya kebelakangan ini?

Saya fikir, nampaknya ia kelihatan begitu misteri dan amat tidak masuk akal. Saya benar-benar berfikir bahawa sekiranya apa yang kamu nyatakan itu benar, maka buku itu (Al-Quran) adalah sebuah buku yang amat mengkagumkan. Saya amat bersetuju dengannya.”

12. Tejatat Tejasen

Professor Tejasen adalah Pengerusi Jabatan Anatomi dan bekas Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Chiang Mai, Thailand. Beliau meneliti dan mempelajari beberapa artikel berkenaan dengan Al-Quran dan ilmu embriologi moden. Beliau menghabiskan masa selama 4 hari bersama ilmuan, ulama, orang Islam dan bukan Islam, membincangkan fenomena yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis. Pada Persidangan Perubatan Saudi ke-8, beliau berdiri dan menyampaikan ucapan,

“Selama 3 tahun, saya berminat terhadap Al-Quran. Daripada kajian saya dan apa ang telah saya pelajari daripda persidangan ini, saya percaya bahawa apa yang dinyatakan Al-Quran 1400 tahun dahulu adalah benar, dan dapat pula dibuktikan dengan menggunakan kaedah saintifik. Memandangkan Nabi Muhammad tidak boleh menulis dan membaca, Muhammad semestinya adalah seorang utusan yang menyampaikan kebenaran yang disampaikan kepadanya sebagai suatu wahyu oleh sesuatu yang layak dipanggil pencipta. Pencipta itu semestinya adalah Tuhan, atau Allah.

Saya fikir, ini adalah masanya untuk saya mengucapkan La ilaha illa Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Allah, Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.
Perkara yang amat berharga yang dapat saya perolehi daripada Persidangan ini ialah La ila ha illa Allah, dan menjadi seorang muslim.

Sesungguhnya kemukjizatan Al-Quran amat jelas sehingga para saintis moden sendiri mengakuinya. Kemukjizatan Al-Quran menurut ulama Ulumul Quran terbahagi kepada tiga, iaitu kemukjizatan dari segi bahasa, kemukjizatan dari segi hukum dan kemukjizatan dari segi ilmiah. Dalam konteks ini, jelas kemukjizatan Al-Quran tidak dapat ditandingi oleh ciptaan manusia. Memang benar firman Allah, bahawa sekiranya Al-Quran itu palsu, sudah pasti akan terdapat banyak percanggahan fakta di dalamnya.

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi-isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
(Surah an-Nisa:82)


Di dalam sebuah hadis, diterangkan bahawa mukjizat Rasul yang terakhir ini akan memberikan sinar keimanan kepada hati yang mahu mengakuinya sebagaimana yang dialami oleh saintis perubatan daripada Thailand di atas. Mukjizat ini cuma boleh di rasai bagi orang yang benar-benar mengerti. Sabda Rasulullah s.a.w

“Tiada seorang nabi kecuali diberi mukjizat yang dapat membuat manusia beriman kepadanya. Tetapi apa yang diberikan kepadaku adalah wahyu yang datangnya daripada Allah. Kerana itu, aku berharap semoga kiranya aku menjadi nabi yang paling banyak pengikutnya.”

Hadis diatas jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad diberikan mukjizat yang jelas berbeza daripada Rasul-Rasul sebelumnya, iaitu sebuah kitab yang berisikan ilmu pengetahuan. Al-Quran sebenarnya bukanlah sebuah kitab sains, tetapi mukjizat yang dinyatakannya adalah untuk membuktikan bahawa Al-Quran adalah benar-benar daripada Allah sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 82 di atas. Rasulullah s.a.w mengetahui bahawa, meskipun hayatnya pendek, namun, Al-Quran akan terus ditatap dan dibaca oleh sesiapa sahaja hingga ke akhir zaman, dan tempoh masa yang panjang ini menjanjikan jutaan manusia untuk membacanya, bersesuaian dengan harapan Rasulullah s.a.w. untuk menjadi Nabi yang mempunyai ramai pengikutnya.

*Disunting dan ditulis semula oleh penulis daripada penulisan Elias Karim berdasarkan This is the Truth oleh Sheikh Abdul-Majeed A. al-Zindani, Pengarah, Projek Keajaiban Saintifik Didalam Al-Quran dan Sunnah, Universiti Raja Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi..

Monday, June 8, 2009

Umat Islam perlukan kekuatan nuklear

Pada hari ini, boleh dikatakan bahawa negara-negara Islam jauh ketinggalan dibelakang negara-negara maju dari segi teknologi dan persenjataan. Pada saat ini, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa negara-negara Islam sentiasa berada di muncung senjata-senjata nuklear milik Barat, hanya menunggu masa untuk dilancarkan. Malah, nuklear sering dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti keganasan melampaui norma manusia, menyebabkan kita menjadi trauma untuk memilikinya.

Memiliki kekuatan nuklear bukanlah semata-mata berkenaan persenjataan dan peperangan. Ramai yang mudah terpengaruh dengan dakyah barat, di atas nama keamanan yang dijaja untuk menghalang umat Islam memilikinya. Usaha terancang barat itu berjaya menampakkan hasilnya apabila kita menjadi terlalu sensitif apabila berdepan dengan isu nuklear. Menguasai teknologi nuklear bukanlah semata-mata untuk memiliki senjata nuklear dan gilakan peperangan, tetapi menggunakan manfaatnya yang besar untuk pelbagai tujuan dan kemakmuran peradaban manusia.





Tenaga nuklear sebenarnya telah lama digunakan untuk menjana 2.1% keseluruhan bekalan tenaga dunia, dan 15% untuk penjanaan tenaga elektrik dengan pengguna terbesar ialah Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun dengan 56.5% daripada keseluruhan negara yang menggunakan nuklear. Sebagai pengguna terbesar, Amerika Syarikat mempunyai 104 buah rektor nuklear, diikuti Jepun sebagai kuasa Asia yang memiliki sebanyak 63 buah rektor nuklear dan Perancis yang memiliki 59 buah rektor nuklear. Hampir kebanyakan negara Eropah merupakan pengguna tenaga nuklear, dengan setiap negara Eropah memiliki sekurang-kurangnya 5 rektor nuklear. Rantau Asia juga merupakan pengguna tenaga nuklear, dimana selain Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan, India dan dua buah negara Islam iaitu Pakistan dan Iran yang sering dilanda kontroversi antarabangsa apabila berdepan dengan isu nuklear. Kebanyakan negara yang dijana elektriknya oleh teknologi nuklear lebih stabil tariff elektriknya berbanding negara yang bergantung kepada arang batu dan petroleum. Daripada 35 buah negara didunia yang memiliki teknologi nuklear, amatlah menyedihkan apabila cuma 2 buah negara Islam sahaja yang memilikinya.

Mengapakah nuklear digambarkan sebagai teknologi yang memudharatkan? Malah, wujud gerakan terancang anti-nuklear yang kononnya bermatlamatkan keamanan tajaan zionis, yang hakikatnya adalah untuk menghalang penguasaan umat Islam ke atas teknologi tersebut. Kita semua sudah sedia maklum bahawa hampir kebanyakan penjanaan tenaga elektrik di serata dunia adalah berasaskan arang batu dan petroleum. Menurut kajian beberapa badan sains dunia, bekalan arang batu dan petroleum dunia dijangka merosot pada tahun 2030, dan menjelang 2100, dunia akan menghadapi krisis bekalan tenaga yang kritikal. Kesan kekurangan bekalan bahan mentah ini, sudah dirasai sekarang dengan pelbagai kenaikan harga barang dan ketidakstabilan ekonomi dan sudah semestinya, dunia harus beralih kepada sumber tenaga yang baharu.

Penguasaan ekonomi Yahudi terhadap industri arang batu dan petroleum selama ini telah menyebabkan kita terpaksa tunduk dengan percaturan mereka bagi mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut untuk penjanaan elektrik. Iran, sebagai sebuah negara yang memahami permasalahan ini, sanggup mengambil risiko untuk membangunkan teknologi nuklearnya, meskipun mendapat tentangan keras daripada barat. Dunia dimomokkan bahawa Iran cuba membangunkan senjata nukear yang boleh mengugat kestabilan dunia, sedangkan Israel sendiri sebagai sebuah negara haram yang terang-terang mempunyai senjata nuklear untuk tujuan menghancurkan negara lain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan.



Kita sebagai umat Islam juga harus sedar bahawa Amerika Syarikat sesekali tidak pernah ikhlas untuk mengekalkan keamanan di Asia Barat dengan menghalang teknologi itu di Iran. Amerika seharusnya menghapuskan kesemua senjata nuklearnya terlebih dahulu jika benar-benar inginkan dunia yang bebas dari ancaman nuklear.Tujuan utamanya cuma untuk mengekalkan dunia Islam dengan teknologi lapuk yang dapat menjana pendapatan mereka, sedangkan mereka sendiri sudah tiada hati untuk menggunakannya dan malahan, kini mereka giat menjalan pelbagai kajian nuklear. Salah satunya ialah kajian nuklear fusion, iaitu proses nuklear yang berlaku didalam matahari melalui pembinaan rektor Joint European Torus yang terletak di UK. Sekiranya projek membina matahari buatan ini berjaya dikomersialkan, Barat akan memiliki tenaga matahari yang tidak terhingga banyaknya untuk kegunaan mereka, di saat umat Islam cuma masih lagi diterangi cahaya-cahaya lilin di dinding-dinding rumah.

Peristiwa kemalangan rektor nuklear di Chernobyl, dan Three Mile Island merupakan momokan terbesar dalam meracuni minda umat Islam. Pelbagai foto yang mengerikan dan beberapa kajian dan kempen disajikan kepada negara membangun yang rata-ratanya negara Islam, mencetuskan trauma dan rasa fobia kepada sebarang perkara yang berkaitan nuklear. Hakikatnya, kita sewajarnya lebih patut merasa takut kerana dunia Islam sentiasa berada dimuncung senjata nuklear Barat setiap masa. Amerika Syarikat mempunyai hampir 2,700 kepala peledak nuklear, cukup untuk menghancurkan setiap negara Islam didunia ini dengan menembak setiap negara Islam didunia ini 30 buah peluru berpandu nuklear, dan setiap negeri di Malaysia akan menerima letupan kuat daripada sekurang-kurangnya dua buah peluru berpandu nuklear. Israel, sebagai sebuah negara haram didunia ini yang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian pengawalan senjata nuklear, disyaki mempunyai lebih 80 kepala peledak nuklear, cukup untuk menjadikan rantau Arab sebagai gurun didalam gurun dalam masa tidak sampai 1 jam.




Hakikatnya, disebalik kuasa kemusnahan yang dimilikinya, teknologi nuklear adalah suatu teknologi yang dilihat ramai sebagai pengganti terbaik kepada arang batu dan petroleum. Bagi setiap tenaga yang terhasil daripda 17, 500 liter petroleum yang digunakan, ia menyamai 2,5 tan arang batu, manakala jumlah uranium yang diperlukan untuk menjana tenaga yang sama cuma sebanyak 1 gram sahaja. Australia merupakan pengeluar uranium terbesar dunia, namun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Kepulauan Nusantara termasuk Malasia mempunyai deposit uranium yang cukup untuk menjana tenaga bagi sebuah negara. Taburan deposit uranium ini meliputi Kepulauan Borneo, Semenanjung Malaysia dan Sumatera Barat, dan masih lagi diperingkat kajian sebelum boleh dikomersialkan.

Teknologi nuklear sebenarnya adalah teknologi yang bersih. Ia tidak menghasilkan gas-gas yang mencemarkan seperti gas rumah hijau yang banyak terhasil daripada loji-loji elektrik berasaskan arang batu dan petroleum. Kita tidak menafikan akan bahayanya, namun, aktiviti penjanaan elektrik di sesebuah loji nuklear hakikatnya mempunyai risiko yang lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan risiko kematian ketika menaiki sesebuah kapal terbang yang terdedah kepada pelbagai ancaman seperti cuaca buruk, kerosakan enjin, dirampas pengganas dan kegagalan sistem komputer. Namun, dalam dua konteks berbeza diatas, disebabkan racun dan dakyah barat yang memiliki pelbagai kepentingan, kita mengatakan ‘Ya” kepada kapal terbang namun dengan cepatnya mengatakan ‘tidak” kepada penggunaan nuklear.

Isu yang perlu kita fahami berkaitan nuklear bukanlah soal samada mahu menggunakannya ataupun tidak, tetapi lebih kepada soal pengawalan dan penguatkuasaan. Sesuatu yang merbahaya jika diurus dengan betul mampu mengelakkan kemalangan, namun perkara yang mudah jika dipandang lewa juga boleh mengundang kecelakaan. UsahaTNB untuk menjadikan nuklear sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik negara di masa hadapan seharusnya disokong. Bagi umat Islam pula, sudah sampai masanya untuk kita bangkit untuk menjadi pembina dan peneraju teknologi-teknologi baru, bukannya sekadar menumpang teknologi orang yang terang-terang ingin kita mengikut telunjuk mereka.

Wednesday, June 3, 2009

Mengenal tenaga nuklear

Apabila membicarakan tenaga nuklear, masyarakat pada hari ini dengan mudah melatah dan melenting. Mereka akan terus membangkang dan membantah apa-apa saja aktiviti berkaitan nuklear di atas nama keamanan. Namun, benarkah nuklear itu membawa kepada kemusnahan? Atau sekadar propaganda yang dimainkan oleh Barat? Marilah terlebih dahulu, dengan menggunakan akal yang waras, kita meneliti dan memahami dahulu apakah itu nuklear sebelum kita melakukan apa-apa tindakan yang boleh merugikan kita. Benarlah kata bahawa manusia amat menakuti perkara yang tidak difahaminya.




Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya, padahal Allah tidak dilihatnya”.
(Surah Al Hadid:25)


Rahsia mengenai tenaga nuklear sebenarnya telah lama dijelaskan oleh Al-Quran. Kalimah besi sebagaimana ayat diatas, bukan tertumpu kepada unsur besi (iron) sahaja, tetapi meliputi kesemua galian-galian yang boleh dilombong daripada perut bumi. Uranium, iaitu bahan utama yang digunakan dalam aktiviti nuklear, merupakan salah suatu logam berat daripada kumpulan logam aktinida. Uranium biasanya ditemui jauh di bawah tanah, dimana proses pembentukannya secara tabi’e oleh Allah adalah melalui letupan supernova sahaja ketika bumi masih lagi belum terbentuk sebagaimana yang kita diami hari ini. Menurut sesetengah pendapat ahli sains kajibumi, haba panas yang terdapat pada teras bumi diperolehi daripada proses pereputan uranium kepada unsur lain yang membebaskan haba dan haba itulah yang mengekalkan teras bumi pada suhu yang tinggi.

Uranium bukanlah satu-satunya sumber radioaktif. Kesemua logam aktinida adalah radioaktif, manakala terdapat juga unsur-unsur yang pada asalnya bukanlah bersifat radioaktif, tetapi digubah struktur atomnya supaya tidak stabil dan menjadi radioaktif seperti karbon-14, iodin-123, technetium-99, phosporus-32 bagi pelbagai kegunaan.



Proses nuklear terbahagi kepada dua iaitu pemecahan nukleus atom berat (fision) dan pencantuman 2 nukleus ringan kepada nukleus yang lebih berat (fusion). Kedua-dua proses ini melibatkan pembebasan sejumlah besar tenaga yang mematuhi kesetaraan prinsip jisim-tenaga iaitu ΔE = Δm.c². Dalam proses ini, sejumlah jisim dimusnahkan bagi menghasilkan sejumlah besar tenaga.

Proses pereputan radioaktif pula menyebabkan tenaga terhasil apabila atom atau unsur berat yang tidak stabil seperti uranium mereput untuk membentuk unsur baru. Ketika unsur radioaktif mereput, unsur tersebut akan memancarkan 3 jenis sinaran iaitu partikel alfa, partikel beta dan sinar gamma. Matahari adalah contoh proses nuklear yang wujud secara fitrah dan semulajadi, dimana ia merupakan sumber tenaga utama kepada planet kita, malah merupakan unsur terpenting yang membolehkan makhluk-makhluk Allah yang bernyawa seperti kita wujud di muka bumi ini. Proses pencantuman hidrogen di teras matahari untuk membentuk helium membebaskan jumlah tenaga yang amat banyak, sehingga ia mampu memastikan matahari terus bersinar sebagaimana di terangkan dalam Al-Quran,

Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
(Surah Nuh: 16)


Istilah lampu didalam ayat di atas boleh membawa maksud proses pembakaran sesuatu bahan (iaitu bahan bakar) yang mengeluarkan haba dan memancarkan cahaya. Bulan disebut sebagai bercahaya sahaja kerana permukaan bulan dilihat bercahaya cuma kerana pantulan cahaya daripada matahari, dan bulan sendiri tidak mempunyai sumber pembakarannya sendiri seperti matahari. Ketinggian ilmu yang terdapat didalam Al-Quran jelas membezakan proses yang berlaku di matahari dan di bulan. Kenapakah matahari dan bulan begitu penting bagi bumi? Jawapannya mungkin terletak pada jumlah tenaga yang dibekalkan oleh matahari. Cahaya matahari itu sendiri membekalkan hampir 1000 watt kuasa per 1 meter persegi pada permukaan bumi. Sekiranya bumi berkedudukan terlalu hampir dengan matahari, bumi pasti menerima lebih tenaga, menjadikan hidupan tidak mampu hidup diatasnya, manakala jika bumi menerima kurang daripada nilai tersebut, bumi akan menjadi terlalu sejuk untuk didiami sebagaimana firman Allah:

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
(Surah Yasin :40)

Persepsi terhadap tenaga nuklear harus diubah. Kita harus melihat tenaga nuklear sebagai suatu anugerah Allah yang perlu diolah demi kebaikan manusia sejagat. Di saat dunia dijangka mengalami krisis bekalan minyak menjelang abad-abad mendatang, nuklear merupakan antara calon pengganti terbaik, memandangkan nisbah bahan dan tenaga adalah kecil jika dibandingkan dengan minyak.

Atom dan Al-Quran






Apakah yang membentuk objek di sekeliling kita? Apakah bahan yang membentuk langit? Daripada apakah alam semesta ini diperbuat? Tidakkah persoalan sedemikian pernah timbul di benak kita, dan sudah semestinya, persoalan tersebut membawa implikasi yang amat besar terhadap aqidah kita sekiranya tidak ditangani dengan fikiran yang dipandu dengan wahyu.

Persoalan tersebut, meskipun kadangkala muncul di fikiran seorang muslim, namun sebenarnya majoriti umat Islam memandang persoalan itu termasuk didalam pengetahuan sains, yang bagi mereka hanya perlu diketahui oleh ahli sains sahaja. Majoriti umat Islam menganggap mengetahui perkara asas yang membentuk objek-objek di sekeliling kita merupakan perkara kecil, sedangkan memahami dan mengkaji setiap benda di dalam alam semesta bermula daripada sekecil zarah sehinggalah kepada galaksi yang tidak terhitung luasnya merupakan suatu kefardhuan dalam mengenal Allah. Malah, Allah sendiri menegaskan pengetahuannya meliputi zarah terkecil yang membentuk alam semesta.

Katakanlah (wahai Muhammad), "Bahkan (tetap datang)! Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu." tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat zarah yang ada di langit dan di bumi dan tidak ada yang terlebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis didalam kitab yang terang dan nyata.
(Surah Saba' : 3)


Ayat ini menggambarkan kekuatan dan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh Al-Quran yang mendahului zamannya. Perkataan "seberat zarah" sebenarnya membawa maksud yang amat saintifik, dimana penggunaan maksud berat seringkali merujuk kepada jisim didalam bidang sains fizik dengan unit asasnya ialah kilogram(kg). Jadi, apakah yang membezakan diantara zarah dengan bukan zarah? Zarah merujuk kepada objek yang mempunyai jisim, berat dan bentuk, walau apapun saiznya, dan sudah semestinya zarah mestilah dapat diukur atau ditimbang dengan apa jua peralatan ataupun pengiraan matematik sekiranya melibatkan objek yang terlampau kecil seperti elektron ataupun objek yang terlampau besar seperti matahari. Sekiranya sesuatu objek itu tidak mempunyai bentuk, dan tidak pula dapat ditimbang, maka itu bukanlah zarah. Contoh mudah bukan zarah ialah gelombang bunyi dan gelombang cahaya yang tidak dapat ditimbang berat dan tidak diketahui bentuknya.

Sains moden pada hari ini mentakrifkan suatu medium penyukatan yang berasaskan berat, atau lebih tepat lagi, jisim bagi menentukan dan mengklasifikasikan setiap molekul dan atom yang membentuk setiap objek dan benda termasuklah alam semesta yang kita diami ini. Sebagai contoh, lautan terbentuk daripada percantuman jutaan takungan air. Takungan air pula terbentuk daripada jutaan tompokan air. Setompok air pula terbentuk daripada jutaan titisan air. Setitik air pula terdiri daripada jutaan molekul-molekul air. Sebuah molekul air pula terdiri daripada gabungan dua atom iaitu hydrogen dan oksigen. Jadi, apakah itu atom? Apakah ada lagi unsur terkecil yang lebih kecil daripada atom?

Persoalan mengenai atom ataupun zarah ini sebenarnya bukanlah suatu persoalan baru. Ahli falsafah Greek sendiri tidak terlepas daripada memikirkan apakah itu atom. Democritus yang memperkenalkan perkataan atomos yang bermaksud ‘tidak dapat dipecahkan atau dibahagikan lagi” manakala Plato dan Aristotle pula yang mentakrifkan atom sebagai partikel yang tidak dapat dipecahkan lagi iaitu air, udara, tanah dan angin. Ketamadunan Islam membawa bidang kimia keluar daripada kegelapan dan kejahilan, dimana sebelum itu masyarakat Eropah dan dunia hanya mempercayai 4 unsur tersebut dengan penuh ketahyulan dan kedongengan. Malah bangsa Melayu sendiri tidak terlepas daripada fahaman tahyul tersebut yang berasal daripada agama musyrik Greek.

Sarjana Islam,Jabir al-Hayan atau lebih dikenali sebagai Geber di barat merupakan Bapa kepada bidang Kimia dimana beliaulah yang membawa perubahan besar kepada ilmu pengkajian zarah, iaitu berjaya merubah ilmu kimia daripada sebuah ilmu berbentuk tahyul dan dongeng kepada ilmu berasaskan sains, dimasa barat masih lagi percaya kepada kuasa-kuasa ghaib yang dimilik oleh 4 unsur tersebut. Beliau menjadikan pengkajian terhadap zarah lebih sistematik dan berbentuk ujikaji, berbanding ilmu Greek pada masa itu yang lebih berbentuk falsafah dan tahyul.

Meskipun tidak menemui sub-partikel yang lain, namun, saintis Islam berjaya membuktikan bahawa atom merupakan zarah terkecil yang mempunyai sifat yang berbeza di antara satu sama lain, melalui penemuan proses menghasilkan asid hidroklorik, asid nitrik dan beberapa sebatian kimia penting yang lain.
Sumbangan tamadun Islam ini kemudiannya dimanfaatkan oleh tamadun barat.
Saintis terkemudian barat kemudiannya mula mengambil pengajaran dan iktibar, dengan melakukan pengkajian demi pengkajian daripada satu generasi kepada satu generasi, sehinggalah sub-partikel yang membentuk sebuah atom ditemui, iaitu electron, proton dan neutron sebagaimana yang kita fahami hari ini.

Pengetahuan yang dimiliki oleh barat ini bukan sahaja berbentuk ilmu untuk kelas-kelas dan universiti, malah diaplikasikan sepenuhnya untuk kemajuan mereka. Bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima sebenarnya merupakan pengolahan daripada ilmu pengetahuan mengenai zarah.

Secara asasnya, satu atom terdiri daripada gabungan proton, elektron dan neutron. Gabungan daripada atom-atom inilah yang membentuk alam semesta sebagaimana yang kita diami ini. Namun, apakah yang membezakan diantara satu atom dengan satu atom yang lain, sehinggakan mampu membentuk pelbagai rasa dan bentuk. Sesuatu atom dibezakan diantara satu sama lain melalui bilangan proton, neutron dan elektron yang terkandung didalamnya.
Kecantikan dan ketinggian ilmu yang terkandung didalam Al-Quran amat jelas melalui firman Allah:

Dan (ingatlah) tidaklah Kami jadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya secara main-main.
(Surah Al-Anbiya: 16)

Dan (ingatlah) tidaklah Kami jadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah.
(Surah Al-Hijr: 85)

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdirnya (yang telah ditentukan)
(Surah al-Qamar:49)

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), Dan Tuhan yang Menciptakan (sekalian makhlukNya) serta Menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaaannya, Dan yang telah Mengatur (keadaan makhluknya) serta memberikan hidaah petunjuk (ke jalan keselamatan dan kesempurnaannya).
(Surah al-A’la:1-3)

Ayat tersebut sememangnya amat besar dan menggentarkan hati para saintis yang beriman, bukan kerana gaya bahasanya sebagaimana yang difahami oleh ahli bahasa, tetapi kerana firman Allah tersebut jelas terbukti menerusi penemuan yang membentuk ilmu sains moden hari ini. Saintis barat sendiri meyakini bahawa alam semesta bukanlah wujud secara tidak teratur, tetapi mempunyai aturan dan susunan yang harmonik sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat diatas.

Sebagai contoh, jika kita cuba memasukkan butiran beras didalam seratus cawan berasingan tanpa mengira bilangan butir beras bagi setiap tuangan, mampukah kita membuat aturan yang cantik iaitu cawan pertama mempunyai 10 butir beras, cawan kedua 20 butir beras dan cawan ketiga 40 butir beras dan seterusnya sehinggalah ke cawan yang ke seratus? Walau sehebat manapun bakat kita, sudah pasti, jika kita tidak mengira secara amat teliti, tidak mungkin bilangan butir beras dalam cawan pertama hinggalah ke cawan yang seratus akan terkumpul secara tersusun dan teratur. Begitu jugalah bagaimana Allah menciptakan atom-atom yang pelbagai didalam alam semesta ini, semuanya mempunyai ukuran yang tersendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat diatas. Buktinya, sains moden menemui bahawa perbezaan diantara satu atom dengan atom yang lain adalah melalui bilangan proton dan susunan konfigurasi elektronnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Jadual Berkala unsur-unsur kimia.



Bagi atom yang mempunyai satu proton dan satu konfigurasi elektron, maka atom tersebut akan membentuk suatu ciri khusus yang tidak dimiliki oleh atom lain yang mempunyai bilangan proton yang berbeza. Bermula dengan atom yang mempunyai struktur yang paling ringkas iaitu Hidrogen dengan satu proton, Allah menciptakan atom lain dengan teratur melalui pertambahan bilangan proton mengikut turutan bagi membentuk atom Helium yang mempunyai dua proton, Lithium dengan 3 proton, Berilium dengan 4 proton dan seterusnya mengikut pertambahan satu proton sebagaimana yang ditunjuki oleh jadual berkala moden.

Lihatlah betapa cantiknya ayat-ayat diatas. Perkataan “berhikmah dan teratur“ menunjukkan bahawa perbezaan diantara setiap atom adalah secara berkala dan tertib, dan sudah pasti kenaikan nombor-nombor proton ini tidak mungkin berlaku secara rawak, seperti selepas nombor proton 10, tidak mungkin atom selepas itu mempunyai nombor proton 13, 19, 56 dengan kenaikan pertambahan yang rawak.
Inilah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w yang kini berada ditangan kita. Hanya menunggu kita untuk memahami dan mengkajinya!

Aku muslim terhebat di dunia


Menjadi seorang muslim merupakan suatu nikmat yang terbesar dikurniakan Allah s.w.t. Ramai yang merasakan menjadi muslim itu adalah kerana seseorang itu dilahirkan didalam kalangan keluarga muslim, sebagaimana seorang Inggeris menjadi Inggeris kerana dilahirkan oleh ibubapanya yang berbangsa Inggeris. Bagi mereka, menjadi muslim seolah-olah diwarisi, biarpun mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam. Mereka tetap merasakan mereka itu masih lagi seorang muslim, walhal amalan dan hidup mereka bukan sahaja diluar cara hidup Islam, kadangkala seolah-olah mencabar pula nilai dan ajaran Islam. Menjadi muslim sekadar melibatkan perkara-perkara yang terpilih sahaja, seperti sambutan Hari Raya, perkahwinan dan kematian, sedangkan pada masa-masa lain, mereka tidak pernah mengenal kain sejadah.

Salah satu trend yang membimbangkan sekarang ini ialah kegilaan untuk menempah nama sebagai orang yang “ter” di dunia. Sekiranya gelaran itu bersesuaian dengan peradaban dan kemajuan teknologi, sewajarnya kita menerima dengan rasa rendah diri. Namun apabila mendapat gelaran muslim pertama bagi perkara-perkara yang tidak disuruh agama dan mendatangkan manfaat kepada umat Islam, maka sewajarnya gelaran muslim diasingkan daripada individu tersebut. Ambillah gelaran tersebut untuk dirinya, “Jenab terhebat didunia tidur dengan lipan selama 14 hari” tetapi jangan kaitkan Islam bersama. Bukanlah bermaksud kita hendak mengecilkan usaha sesiapa, namun Rasul s.a.w bukanlah diutuskan Allah untuk menyuruh penganutnya mendapat gelaran-gelaran yang pelik seperti muslim terbanyak memakan hotdog di dunia, muslim pertama merangkak ke Gunung Everest dan sebagainya. Malah, sangatlah aneh, kerana kita sendiri tidak pernah mendengar penganut agama-agama lain didunia ini yang menggilakan gelaran seperti orang Buddha pertama menyeberang Selat Inggeris.

Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya.

Entah mengapa kadangkala segelintir umat Islam yang sememangnya dimuliakan martabatnya disisi Allah, lebih menyukai untuk bergelumang bersama-sama dengan kejahilan dan kebebalan fahaman hedonistik yang ditaja oleh Yahudi.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.”Ada Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah sehingga musuh begitu kuat?”
Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi macam buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.”
Sahabat bertanya pula, “Apakah itu Al Wahan?”
Rasulullah bersabda, “Cinta dunia dan takut mati.”


Inilah buktinya mukjizat kerasulan Muhamad, walaupun pada lebih satu dekad yang lalu, namun Baginda dapat menerangkan fenomena kegilaan segelintir umat Islam untuk mendapat pelbagai gelaran-gelaran yang terhebat di dunia sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Apabila taqwa tidak lagi ingin dicapai, sudah pasti dunia menarik pandangan umpama seorang penjenayah yang menyamar sebagai seorang yang amat sopan. Apabila kita terleka dengan pujuk rayunya, maka tunggulah saat kecelakaan membaham diri.

Menjauhi israiliyat moden


Akhir-akhir ini, kita kerap kali di sajikan dengan pelbagai penemuan-penemuan yang mendakwa tertulisnya kalimah-kalimah Allah pada sesuatu objek. Maka dengan girangnya, kita pun turut berkempen ke merata tempat untuk menunjukkan kehebatan dan kekuasaan Allah melalui objek atau gambar-gambar tersebut. Kesannya, objek atau gambar tersebut akan dianggap ‘suci’ dan lahirlah pemujaan terhadap objek tersebut sedangkan Islam amat menegah perbuatan pemujaan sesama makhluk.

Hasilnya, musuh-musuh Islam telah berjaya menjauhkan kita daripada mengkaji dan mendalami penemuan dan rahsia-rahsia ilmu yang terkandung dalam Al-Quran sebagai mukjizat yang terakhir, disebabkan kita lebih suka dimabukkan oleh penemuan-penemuan ‘ajaib’ yang sebenarnya dapat diterangkan dengan mudah oleh ilmu sains. Kita seolah-olah dijadikan seperti anak-anak kecil yang seronok ditipu dan dikhayalkan mengikut imaginasi dihadapan seorang ahli silap mata yang menggunakan tipu daya untuk menimbulkan rasa hairan dan aneh. Lebih tinggi rasa hairan dan aneh tersebut, lebih tinggilah kita diperbodohkan oleh ahli silap mata.

Agenda terancang musuh-musuh Islam ialah ingin mengekalkan umat Islam dalam keadaan jumud, tahyul dan khurafat, sedangkan mereka memonopoli ilmu sains untuk membolehkan mereka menguasai dunia dan umat Islam. Sebenarnya, Allah menetapkan kita hidup dalam dunia yang tidak mempunyai tempat untuk perkara karut dan bohong. Setiap satunya mestilah melalui pemerhatian dan ujikaji, dan sekiranya ujikaji tidak mampu dibuat, pemerhatian akan diteruskan sehingga hipotesis atau andaian ditetapkan.


Namun begitu, sekiranya ada suatu kajian yang berkaitan objek atau jasad didalam alam semesta yang tidak dapat difahami oleh akal, kita seharusnya tidak boleh membenarkan rasa tahyul dan khurafat memenuhi ruang pemikiran kita. Ini kerana ilmu pengetahuan berkaitan hal tersebut tidak akan disingkapkan tabirnya kecuali kita sendiri berusaha untuk mengkajinya. Adalah mustahil sekiranya Allah menggesa kita merenung ciptaanNya, dan dalam masa yang sama menghalang kita untuk mengetahui kebesaranNya. Bukankah banyak perkara yang dahulunya tidak dapat difahami oleh akal, misalnya gunung-ganang yang bergerak seperti kapal di lautan tetapi telah dapat difahami sejajar dengan perkembangan ilmu sains dalam bidang geologi.

Kita lebih suka mengambil jalan mudah yang tidak bersifat ilmiah dan saintifik untuk memahami kekuasaan Allah dalam alam semesta, sedangkan Al-Quran sendiri menekankan umat manusia menggunakan akal fikiran secara saintifik dalam memahami penciptaan alam semesta didalam mengenal Allah. Didalam Al-Quran yang selalu kita baca “Tidakkah engkau lihat…” merupakan suatu ajakan kepada manusia untuk melakukan pengamatan mendalam terhadap alam semesta. Golongan yang dikenali sebagai ‘ulul albab’ didalam Al-Quran ialah manusia yang selalu berzikir kepada Allah, serta selalu memikirkan dan merenungkan ciptaan Allah baik yang ada di langit mahupun yang ada dibumi, sebagaimana disebut dalam surah Ali-Imran ayat 190 dan 191.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;
(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.
Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun
;


Golongan ‘ulul albab’ dalam konteks sekarang dapat juga diberikan kepada para ahli sains Islam yang beriman kepada Allah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki terhadap alam semesta sebagaimana berimannya para ahli sihir ketika zaman Nabi Musa kerana meyakini melalui ilmu yang dimiliki oleh mereka bahawa mukjizat yang dibawa oleh Nabi Musa benar-benar merupakan sesuatu yang datang dari Allah.

Dipengaruhi rasa tahyul dan khurafat dalam bentuk “israiliyat moden”, serta disebabkan kedangkalan kita terhadap ilmu pengetahuan, maka ramai yang tersalah anggap dalam memahami ayat Al-Quran.
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami disegenap penjuru dan pada diri mereka sendiri……” (Fusshilat: 53).
Dalam ayat tersebut, kalimah ‘tanda-tanda” bukanlah merujuk kepada kalimah tulisan Allah pada ikan, batu, buah, pokok dan sebagainya tetapi merujuk kepada pengetahuan dan kebesaran Allah yang dapat difahami dan diterima oleh akal dan ilmu pengetahuan manusia. Sekiranya kalimah tulisan Allah yang dimaksudkan dalam ayat diatas, bagaimana kita ingin menjelaskan bentuk-bentuk salib dan simbol ajaran Hindu dan Buddha yang terbentuk dalam unsur-unsur biodiversiti disekeliling kita?


Sifat tahyul dan khurafat pada sesuatu fenomena, benda atau objek yang luar biasa menyebabkan kita menjadi malas untuk memikirkan kehebatan Allah pada benda-benda yang dirasakan biasa sahaja menurut pandangan kita. Tiada siapa yang kagum kepada air liur manusia, tetapi menurut ilmu sains, air liur mengandungi DNA yang mempunyai maklumat yang cukup kompleks, dimana sekiranya kita menulis semua maklumat yang terkandung dalam DNA tersebut, kita akan dapat menghasilkan sejumlah buku 900 jilid dengan setiap buku mempunyai 500 helai mukasurat yang memerlukan ruang seluas padang bolasepak untuk menyimpannya. Subhananallah!, semua maklumat ini telah dipadatkan oleh Allah ke dalam sebuah molekul yang sangat halus didalam air liur hinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar.

Di saat para ahli sains mulhid bingung kerana penemuan mereka membuktikan kebenaran Al-Quran dikala ingin mencari kelemahan Islam, kita pula mengambil langkah ke belakang. Sebenarnya ramai saintis barat yang meyakini kebenaran saintifik Al-Quran, tetapi rasa ego yang diwarisi dari Ahli Kitab menyebabkan hidayah Allah terhalang dari masuk ke hati mereka. Sebagai salah satu jalan memartabatkan Islam, sebagai pencinta ilmu atau kelompok Rabithah ’Ilmiyah Tsaqafiyah, para daie perlulah mempersiapkan diri dengan pengetahuan sains untuk berhadapan dengan masyarakat celik sains, sebagaimana Allah memperlengkapkan Musa dengan ilmu pada zaman dimana sihir hanya dapat dipatahkan melalui mukjizat berbentuk sihir juga.


*
petikan artikel dari Al-Akhbar April 2008-Buletin Rasmi MATRI (Oleh : Cikgu Abdul Rahman Bin Daud)
Kunjungi laman web MATRI: http://www.matri.edu.my/